Archive for December 7th, 2008

07
Dec

Salam Aidiladha, tahun mewarnai kehidupan

Tak sangka ye dah nak masuk 4 tahun aku belajar dekat MMU ni. Dalam masa 4 tahun ini lah aku banyak belajar tentang kehidupan. Dari mula aku tak tahu apa-apa tentang MMU ini, sehinggalah aku sekarang menjadi tempat orang rujuk mengenai MMU ini. Memang tak sangka.

Macam-macam terjadi dan menjadi kenangan sepanjang setahun ini pula dari awal tahun 2008 sehinggalah nak masuk tahun 2009 ini. Ada rasa sedih, gembira, geram, kecewa dan lain-lain lagi perasaan yang sempat aku rasa. Tahun ini tahun aku mengenal erti cinta, ya aku juga tak lepas dari cinta. Cinta itu tidak dapat dielak tapi harus tahu cara mengawalnya. Kerana cinta jugalah aku menangis dibahu orang yang aku sangat percaya iaitu mentor aku Abu Saif. Mengenal cinta, kemudian terpaksa meninggalkan cinta adalah perkara yang susah mahu diterima. Tetapi kadang-kadang ia mengajar dan memberi kesedaran kepda kita tentang kehidupan.

Cerita cinta kerana jarak usia, cerita cinta kerana sukar menerima pembawakan cinta islami, cerita cinta kerana cinta dinodai dengan maksiat, cerita cinta yang tak diundang, dan pelbagai cerita cinta yang aku alami. Walaupun ia menganggu fikiran dan jiwa, tetapi sebenarnya ia banyak memberi dan mengajar aku falsafah cinta. Fuh! Falsafah cinta ya!

Cerita sahaja tentang cinta dengan wanita yang lebih berusia, cerita cinta dengan jarak yang jauh sehingga dibatasi dengan laut cina selatan dan nun jauh di timur tengah, dan cerita cinta yang tidak tahu bagaimana untuk menghargai cinta. Semuanya aku sudah rasai. Ya walaupun ramai membantah dan sering menasihati aku agar jangan lagi bermain cinta, tapi sebenarnya cerita-cerita cinta ini sebenarnya memberi aku idea dan pengetahuan tentang sukarnya jiwa wanita. Melalui cerita-cerita ini aku mula memahami wanita, aku mula mengenali sifatnya, aku mula mengetahui apa ertinya bercinta. Semua ini akan digarap dan dikumpul menjadi kamus dan manual dalam kehidupan cinta aku yang seterusnya.

Banyak-banyak masalah yang aku hadapi, masalah cinta yang paling banyak aku rasai. tidak tahu kenapa, mungkin ini satu cabaran dan ujian yang akan mematangkan aku dalam semua aspek. Ya, kerana cinta mewakili keseluruhan kehidupan. Itu penafsiranku. Mungkin sahaja berbeza tapi itulah sisi pandanganku.

Peningkatan berfikir dan pendewasaan mencari tuhan juga mula terbit dalam lingkungan tahun ini. Aku mula mencari identiti islamis aku, yang aku harus selami, dalami dan hayati agar aku dapat menjadi hamba dan merasai sebagai hamba kepda tuhan yang satu; Allah. Berjalan kesana-sini, berjalan mencari lembah, kemudian singgah mencari magfirah. Aku mengenali kekuasaannya dalam memerhati dan menilai kehidupan manusia di tempat-tempat yang aku singgah. Menghayati ciptaannya, secara langsung mengenali pencipta. Kerana itu Kalamnya menyuruh kita berjalan menerokai alam ini, kerana manusia itu harus menerokai sisa kelam ini agar dapat mencari sinar dibalik sana.

Tahun ini juga banyak mengajar aku erti persahabatan dan erti kekuasaan. Ya, aku berlindung kepada tuhan sang maha Kuasa, agar terlindung dari sifat nifaq yang menjatuhkan kekuasaan.

Walau semuanya dikumpulkan, pasti soal cinta menjadi daki hitam dalam tahun kehidupanku ini. Namun, aku masih mencari sinar, mencari insan yang boleh membuatkan aku terus dekat kepada-Nya, bukan terus menjauhi-Nya. Aku masih samar, masih kelam, adakah insan yang kini dekat denganku, dekat dengan bicaraku, dekat dengan pengajianku, dan mula aku mahu mengenalinya secara mendalam. Seorang wanita yang lemah-lembut, sangat mementingkan agama, seorang wanita yang dahagakan ilmu, dan seorang wanita yang dekat dengan ilmu perubatan. Aku mendekatinya tanpa dekat padanya, aku mengenalinya tanpa dia sedar aku menaruh cinta padanya. Aku menyokongnya, memberi nasihat kepadanya, tanpa dia sedar bahawa ada rasa kagum aku padanya. Aku berdoa, dan sentiasa berdoa, agar insan itu menjadi insan yang sebenarnya tuhan telah tulis untukku. Tapi jika itu tidak berlaku, aku mengharapkan biarlah dia menjadi kenangan indah dalam mencari cinta kerana tuhan.

Salam Aidiladha aku tujukan kepada semua, dekatnya kita kepada tahun baru, semakin dekat pula kematian yang akan menjemput kita. Moga Allah memberi masa dan kesempatan untuk kita menjadi hamba yang taat dan seterusnya menjadi tetamu-Nya di syurga nanti.

Sekian,

Yussamir dari kaca mata kehidupan insan biasa.